MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah, Penenang Jiwa, Pencetus Idea, Penyelesai Masalah. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis. Keajaiban ISTIGHFAR sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati, dapat menyelesaikan pelbagai masalah tanpa dijangka.


Rasulullah SAW bersabda :
"Tidakkah engkau beristighfar?
Aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam
seratus kali."
(Ahmad, Ibn Majah, Hakim)


BORANG TEMPAHAN
Harga RM22 - termasuk penghantaran (ekspres)


"Untuk membaca SINOPSIS sila klik pautan di bawah"

> Klik Di Sini Untuk Membacanya <

Sunday, September 9, 2012

AYAHKU IDOLAKU


A
ku kehilangan emak ketika berusia tujuh tahun. Emak kesayanganku meninggal dunia kerana menderita barah payudara. Pemergian emak menyebabkan kami sembilan beradik kehilangan tempat bermanja.
Hanya kepada ayah tempat kami bergantung. Aku membesar bersama seorang kakak, tiga orang abang, seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan. Kakak sulungku yang berusia tujuh belas tahun ketika itu, telah pun mendirikan rumahtangga.
Kak Mie merupakan anak ayah yang kedua dan dialah yang banyak berkorban membantu ayah, membesarkan kami dalam serba kekurangan. Kak Mie berumur empat belas tahun ketika emak pergi buat selama-lamanya.
Selepas emak tiada, ayah bertahan untuk tidak berkahwin lagi. Ini kerana ayah sedar, tidak semua ibu tiri bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Kebiasaannya, ibu tiri digambarkan sebagai seorang yang zalim. Ini menjadikan ayah keberatan untuk mencari pengganti emak.
Kekuatan semangat dan jati diri ayah, menjadi contoh dan teladan kepadaku dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, selepas kematian arwah suamiku.
Sedangkan ayah seorang lelaki, berjaya membesarkan kami lapan beradik, sehingga kesemuanya berjaya dalam hidup, apatah lagi aku seorang wanita, ibu yang mengandung dan melahirkan anak-anakku. Sesungguhnya ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.
Kalau ayah berjaya mendidik lapan orang anaknya, aku juga mahu begitu. Aku percaya aku boleh melakukannya dengan bantuan Allah s.w.t. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Aku berharap begitu. Ayah juga pernah mendapat Anugerah Keluarga Contoh daripada kerajaan negeri Johor.
Dalam diam, aku menjadikan ayah idolaku. Dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, aku banyak mengikuti teladan ayah. Kekuatan semangat ayah, banyak memberi motivasi kepada diriku dan anak-anak.
Aku kerap bercerita kisah silamku kepada anak-anak, agar menjadi panduan dan batasan kepada mereka dalam menjalani kesusahan dan kepayahan hidup ini. Kelihatan seolah-olah, perjalanan hidupku berulang kepada anak-anakku.

SUASANA pagi itu dingin sekali. Kabus kelihatan menyelubungi sekeliling rumah kami, yang terletak dipinggir kampung. Kebetulan malam tadi hujan turun mencurah-curah.
Jam meja menunjukkan pukul enam pagi ketika ayah mengejutkan aku dan abang-abangku. Kami bergilir-gilir mandi air kolam di depan rumah.
Aku dan abang-abangku belajar di Sekolah Kebangsaan Parit Kumang. Aku berada dalam darjah satu. Abang Man belajar dalam darjah tiga dan Abang Zek dalam darjah lima. Manakala Abang Zain pula berada dalam darjah enam. Abang Zek dan Abang Zain hanya berbeza umur satu tahun sahaja.
Kak Mie belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Kumang. Tiga orang lagi adikku yang belum bersekolah, tinggal bersama atuk sebelah emak, Atuk Tun.
“Sejuknya!” Aku memeluk tubuh, termenung beberapa minit di tepi kolam.
“Cepatlah Aya! Nanti lambat sampai ke sekolah!” Abang Man menegurku.
“Sejuklah bang!”
“Pagi-pagi begini, memanglah sejuk! Lepas mandi, terus gosok gigi!” Arah abang Man lagi.
Aku mencapai baju sekolah yang sedia tersidai di dinding. Sepasang baju sekolah yang lusuh dan tidak bergosok, aku sarungkan ke badan. Aku lihat abang-abangku telah siap berpakaian.
Kami menjenguk ke ruang dapur. Terhidang cucur tepung, di atas tikar mengkuang yang telah pudar warnanya. Tidak ada air teh mahupun kopi panas untuk kami seperti kebiasaan orang lain bersarapan.
Hanya itu yang mampu Kak Mie sediakan untuk kami pagi itu. Itu pun sudah memadai. Kadang-kadang kami terpaksa ke sekolah tanpa dapat mengalas perut.

EMAK kesayanganku kini sedang dirawat di Hospital Tun Aminah. Sudah enam bulan aku tidak dapat berjumpa dengan emak. Emak terpaksa dirawat di hospital kerana menjalani pembedahan membuang payudara.
Emak terpaksa berjuang untuk hidup, demi kami anak-anaknya. Emak menanggung penderitaan itu sendirian, tanpa kami di sisi. Ayah tidak mampu untuk kerap menjenguk emak di hospital kerana kehidupan kami sekeluarga yang kesempitan.
Semasa emak dirawat di Hospital Batu Pahat, dapatlah aku adik beradik dan ayah melawat emak. Apabila emak dipindahkan ke Hospital Tun Aminah, kami tidak lagi dapat melawat emak kerana kos tambangnya yang mahal.
Tapi, semalam ayah memberitahu kami, yang emak dapat cuti daripada hospital. Emak balik ke rumah atuk. Hari ini, selepas waktu persekolahan, kami semua akan melawat emak. Esok hari jumaat, sekolah cuti hujung minggu.
“Esok, kita semua pergi rumah atuk. Emak kamu dah balik. Emak kamu dapat cuti daripada hospital.” Ayah memberitahu kami ketika kami sedang makan malam.
Kami semua berasa seronok sekali. Hati berbunga membayangkan pertemuan dengan emak yang kami rindui.
“Seronoknya.. esok dapat jumpa mak!” ujarku ceria.
“Yalah tu.. anak manja!” Abang Man mencelah.
“Abang tu, apa kurangnya. Emak sayangkan abang. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang. Jelous tau.”
“Abang kan budak baik.”
“Perasan.” Aku mengejek Abang Man kembali.
Abang Man seorang yang sangat lembut dengan emak dan ayah. Setiap kali tetamu datang ke rumah kami dan menghulurkan sepuluh atau dua puluh sen, sudah pasti duit itu akan Abang Man serahkan kepada emak. Dia tidak pernah merasakan yang duit itu miliknya. Berlainan dengan aku atau Abang Zek. Duit itu akan kami gunakan untuk membeli aiskrim.

SELEPAS waktu persekolahan pada hari itu, aku dan abang-abangku berjalan kaki menuju ke rumah atuk. Kami lengkap berpakaian seragam sekolah.
Rumah atuk terletak di pekan, lebih kurang dua kilometer dari Sekolah Kebangsaan Parit Kumang. Lelah berjalan, kami berhenti sebentar di tepi jalan.
Sampai di rumah atuk, kami memberi salam. Aku berlari, menuju ke arah emak yang sedang duduk di tiang seri rumah. Emak kelihatan lesu dan lemah.
Namun begitu, riak wajahnya kelihatan ceria. Sudah tentu emak berasa gembira kerana dapat berjumpa kami setelah lama terpisah.
“Emak!!!”
Aku peluk emak erat-erat, sepuas hatiku. Aku mencium pipi emak kanan dan kiri. Aku tidak mahu berpisah dengan emak lagi. Emak mengelus-elus rambutku lembut.
Aku lihat wajah emak sudah banyak berubah dari sebelumnya. Muka emak kelihatan tembam dan badan emak nampak gempal.
“Emak gemuklah,” luahku.
“Bukan gemuk nak.. badan emak bengkak-bengkak. Doktor kata bengkak air,” jelas emak lagi.
“Sakit tak mak?” Aku sedih melihat keadaan emak.
Emak terdiam seketika. Kelihatan sayu wajah emak, memberi jawapan kesengsaraan yang sedang ditanggungnya. Aku menitiskan air mata melihat penderitaan emak.
“Mak.. emak balik sampai bila?”
Aku cuba menceriakan keadaan. Aku berharap emak tidak akan meninggalkan kami lagi.
“Aya.. doktor bagi mak cuti satu minggu. Emak rindu sangat kat anak-anak emak. Sebab itulah emak minta cuti.”
“Kami pun rindu kat mak..” Aku memeluk emak lagi.
“Emak.. selama emak tak ada ni kan, kami makan nasi lauk ikan masin je. Tak ada orang nak masak.”
“Emak baliklah rumah kita. Aya tak nak emak masuk hospital lagi.” Aku merengek sambil melentokkan kepala ke dada emak.
Emak membelai rambutku lemah. Setitis air jernih yang hangat, menyentuh pipiku. Melihat emak menangis, aku pun turut menitiskan air mata. Keadaan menjadi pilu seketika.
“Sudahlah tu.. mari makan sama-sama!” Suara atuk memecah kesunyian.  
Emak nampak gembira dapat berjumpa dengan kami adik beradik. Atuk menjamu kami makan tengah hari. Kami menjamah makanan dengan penuh selera kerana dapat makan bersama-sama dengan emak. Sudah lama kami tidak dapat merasai suasana seperti ini. Ayah dan Kak Mie sampai pada sebelah petang. Malam itu kami tidur di rumah atuk.

SUDAH seminggu emak menginap di rumah atuk. Pagi Khamis itu, hatiku berdebar-debar dan tidak bersemangat untuk ke sekolah. Fikiranku kosong, melayang-layang. Aku sendiri kurang pasti sebabnya. Suasana pagi itu hening dan berkabus.
Kami adik beradik melangkahkan kaki perlahan-lahan menuju ke sekolah. Seperti lazimnya, kami pergi ke sekolah berjalan kaki. Jarak antara sekolah dan rumah kami lebih kurang lima kilometer. Ayah tidak mampu membelikan kami basikal, untuk kami kayuh ke sekolah. Kadang-kadang kami berjalan bersama anak-anak jiran yang senasib dengan kami.
Esok hari jumaat. Aku berharap dapat berjumpa dengan emak lagi. Kalau boleh setiap hari aku hendak berjumpa dengan emak. Aku nak bawa emak balik ke rumah kami, tinggal dengan kami. Aku nak tolong jaga emak. Aku belum puas lagi bermanja dengan emak.

MATA pelajaran pertama bermula pada pukul 7.30 pagi. Cikgu Hasnah mula mengajar Bahasa Melayu, tetapi aku tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran pada hari itu.
Aku asyik teringat dan terbayang akan wajah emak, senyuman emak, belaian emak, kasih sayang emak dan keperihatinan emak kepada kami adik-beradik.
Entahlah, aku pun tidak pasti, mengapa perasaanku berlainan sekali pada pagi ini. Hatiku menjerit-jerit, “Aya rindu.. emak! Aya sayang.. emak!”
Tiba-tiba, suasana bilik darjah menjadi sepi seketika. Waktu itu lebih kurang pukul sembilan pagi. Seorang kerani datang ke kelasku dan membisikkan sesuatu ke telinga Cikgu Hasimah. Cikgu Hasimah mengajar matapelajaran Matematik.
Aku lihat Abang Man, Abang Zek dan Abang Zain, berdiri di tepi pintu kelasku. Dadaku mula berdebar-debar.          
“Rohaya!”
Cikgu Hasimah memanggil namaku. Aku terkejut daripada lamunan dan segera berdiri.
“Takziah.. emak kamu, telah meninggal dunia. Bersabarlah ye. Sekarang, saya benarkan kamu balik.” Suara Cikgu Hasimah tersekat-sekat. Seisi kelas memandang ke arahku.
Tiba-tiba hatiku terasa sayu dan sebak sekali. Terasa diri terasing jauh, entah di mana. Air mata mengalir tanpa aku sedari.
Aku mengambil beg sekolah dan meluru ke arah abang-abangku. Aku menangis tersedu-sedu. Kelihatan ayah menunggu kami di kantin. Kak Mie telah mendahului kami ke rumah atuk.
“Abang.. mak dah tak ada,” rintihku.
“Sabar, ye Aya..” Abang Man memujukku.
“Lepas ni, kita macam mana bang? Kita dah tak ada emak lagi.”
“Kita kan masih ada ayah. Kita duduklah dengan ayah.”
“Tapi.. Aya nak emak. Aya nak duduk dengan emak dan ayah.” Aku menangis di sisi Abang Man.
“Lepas ni, sape nak masak untuk kita. Basuh baju kita.” Tangisku masih belum berhujung.
“Kita buatlah sama-sama. Kita tolong Kak Mie.” Biasanya Kak Mie yang melakukan semua tugas itu.
“Kita nak manja dengan siapa bang..” Aku menangis sepuas-puasnya.

SAMPAI di rumah atuk, aku lihat orang ramai telah memenuhi halaman rumah. Suasana sedih menyelubungi seluruh isi rumah dan sekitarnya. Di halaman rumah, kelihatan orang ramai sedang membuat keranda.
Di atas rumah, kedengaran suara orang membaca surah Yassin, sayup dan sayu. Aku naik ke atas rumah. Di satu sudut, aku lihat kakak sulungku dan Kak Mie sedang membaca Yassin.
Adik-adikku yang masih kecil kelihatan leka bermain-main. Mereka masih tidak mengerti kehilangan yang berlaku.
Aku tatap wajah emak sepuas hati. Belum puas kami bermanja, emak telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku tidak akan dapat berjumpa dengan emak lagi.
Emak dikebumikan, hari itu juga. Kini, kami adik beradik menjadi yatim. Air mataku mengalir laju. Kami diibaratkan seperti anak ayam kehilangan ibu.

Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah

No comments:

Post a Comment