MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah, Penenang Jiwa, Pencetus Idea, Penyelesai Masalah. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis. Keajaiban ISTIGHFAR sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati, dapat menyelesaikan pelbagai masalah tanpa dijangka.


Rasulullah SAW bersabda :
"Tidakkah engkau beristighfar?
Aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam
seratus kali."
(Ahmad, Ibn Majah, Hakim)


BORANG TEMPAHAN
Harga RM22 - termasuk penghantaran (ekspres)


"Untuk membaca SINOPSIS sila klik pautan di bawah"

> Klik Di Sini Untuk Membacanya <

Sunday, September 9, 2012

PERGI TAK KEMBALI


H
ari itu, kami sampai di rumah sekitar jam 8.45 malam. Waktu itu, aku sedang sarat mengandungkan anak bongsuku Aiman. Kandunganku ketika itu lebih kurang lapan bulan. Aku dijangka akan melahirkan bayiku dalam tempoh tiga minggu lagi.  
Oleh sebab keletihan selepas berjalan jauh, aku meminta izin daripada suamiku untuk mandi dan seterusnya ke bilik tidur.
Sebenarnya, kami baru sahaja pulang dari Cherating, Pahang. Suamiku mendapat tawaran penginapan hotel percuma selama 3 hari 2 malam. Kami mengambil peluang itu untuk bergembira bersama anak-anak. Bukan selalu kami mendapat peluang seperti ini.

SEKITAR jam dua pagi, aku dikejutkan dengan tangisan Aima. Ketika itu, Aima baru berusia dua tahun. Kami menyambut ulang tahun kelahiran Aima, dua minggu sebelum bercuti ke Cherating.
Serentak dengan tangisan Aima, kedengaran suara suamiku mengigau. Suara igauannya, saling tak tumpah seperti igauannya satu minggu yang lalu.
Satu minggu sebelum itu, suamiku mengigau seperti itu juga. Cuma waktunya berbeza. Waktu itu, suamiku mengigau sekitar jam enam pagi. Apabila aku mengejutkannya, dia tersenyum sendirian.
“Jumpa bidadari ke bang?” Aku mengusik suamiku.
“Yalah.. abang mimpi jumpa perempuan cantik,” balas suamiku spontan.
Peristiwa itu berulang lagi malam ini. Aku segera ke ruang tamu kerana suami dan anak-anakku, kesemuanya tidur di ruang tamu.
Aku melihat Aima berada di hujung kaki suamiku. Anak-anakku yang lain, lena bersebelahan ayah mereka. Aku menarik Aima dari hujung kaki ayahnya. Mungkin suamiku tertendang Aima, sehingga menyebabkan dia menangis.
Aku mengalih pandangan kepada suamiku pula. Aku mengejutkan suamiku beberapa kali, namun dia tetap tidak terjaga.
Aku lihat tangannya memegang leher dan matanya putih memandang ke atas. Aku mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik dan hatiku berasa kurang enak.
“Lain macam igauan suamiku hari ini,” hatiku berbisik.
Aku membaca ayat Kursi dan aku hembuskan ke teliga suamiku. Aku lihat suamiku mula lemah, lalu aku membisikkan Kalimah Syahadah di telinganya. Beberapa saat kemudian, aku lihat suamiku terkulai layu. Aku tergamam seketika.
Aku mencari-cari nadi di pergelangan tangannya, namun gagal. Aku cari pula nadi di lehernya, juga tidak ketemu. Aku tidak berputus asa, aku mengejut suamiku lagi.
“Abang.. Abang.. Bangun bang!”
“Abang.. Kenapa ni?”
“Astaghfirullah.. Apa dah jadi ni?” Aku menjadi cemas. Akhirnya aku membuat keputusan untuk meminta bantuan daripada jiran-jiranku.
“Tok! Tok! Tok!”
“Assalamualaikum Kak Wa!” Aku memanggil jiran bawah rumahku.
“Waalaikumussalam! Ada apa, Aya?” tanya jiranku itu.
“Entahlah Kak Wa.. nak minta tolong tengokkan suami saya.”
“Kenapa?” tanya Kak Wa lagi.
“Siapa tu?” kedengaran suara suami Kak Wa dari dalam bilik.
“Aya, bang! Minta tolong tengokkan suaminya!”
“Ha.. yalah! Sekejap abang datang!”
Suami Kak Wa keluar dan mengikut aku ke rumah. Suami Kak Wa merupakan seorang pemandu teksi dan berumur dalam lingkungan lima puluhan. Dia dan keluarganya adalah jiran yang paling rapat denganku.
“Aya.. abang rasa, suami kamu ni dah tak ada.”
“Betul ke bang?” Aku menjadi tidak keruan.
“Cuba kamu panggilkan Simah. Dia jururawat, tentu dia tahu,” beritahu suami Kak Wa lagi.
Aku pun memanggil Simah dan memberitahunya hal yang berlaku. Simah masuk ke dalam rumah dan menghampiri tubuh suamiku. Dibelek-beleknya mata suamiku yang terpejam rapat.
“Kak.. rasanya suami akak ni, memang dah tak ada. Orang kalau dah meninggal, mata hitamnya akan membesar.” Jelas Simah kepadaku.
Aku mengambil peluang, melihat mata hitam suamiku. Ya, benar seperti kata Simah. Aku terpaku, tidak mampu berkata-kata. Namun begitu, aku redha dengan ketentuan Allah SWT ini.
“Allah sedang menguji aku.” Aku berbisik di dalam hati.

AKU membuat persiapan, apa-apa yang patut. Suami Kak Wa banyak membantu aku menguruskan jenazah arwah suamiku. Aku lihat anak-anakku berkumpul di satu sudut. Aima berada di pangkuanku.
Tiada seorang pun anak-anakku yang menangis. Mereka melihat sekujur tubuh ayah mereka dengan pandangan yang kosong. Walhal mereka sangat rapat dengan ayah mereka. Tidur mereka sentiasa ditemani arwah.
Aku dapat merasakan, itulah permulaan bantuan daripada Allah SWT kepadaku. Bantuan Allah SWT, dalam menghadapi keadaan yang sangat sukar ini.
Pada pandanganku, bukan anak-anakku tidak menyayangi ayah mereka. Tetapi Allah SWT memelihara mereka dan hati-hati mereka daripada terluka dan bersedih. Anak-anakku kelihatan tabah menghadapi ujian ini. Sekurang-kurangnya aku yakin begitu.

AKU menelefon Abang Man. Malangnya panggilanku tidak di angkat. Kemudian aku menghubungi Kak Mie pula.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!”
“Kak Mie.. Aya ni. Aya nak beritahu, suami Aya dah tak ada.” Nada suaraku mula tersekat-sekat.
“Kenapa? Kemalangan ke?” Pada fikiran Kak Mie, kami terlibat dengan kemalangan. Ini kerana semua orang tahu yang kami bercuti ke Cherating.
“Tak.. di rumah, dalam tidur,” ujarku.
“Kak Mie tolong beritahu yang lain, ye.. Tadi Aya telefon Abang Man, tak angkat.”
“Baiklah.. nanti Kak Mie beritahu mereka. Siapa lagi yang ada di sana?”
“Tak ada sesiapa, jiran-jiran sahaja.” Air mataku mula berderai.

“AYA… dah telefon keluarga arwah?” teguran suami Kak Wa memecah lamunanku.
“Yalah bang.. tolong jemputkan abang arwah, rumah dia tidak ada telefon,” pintaku.
Abang iparku tinggal di Jalan Kelang Lama. Pada fikiranku, sudah tentu suami Kak Wa tahu jalan-jalan di Lembah Kelang. Aku meminta Miasyara dan Aisyam menunjukkan jalan.
Lebih kurang pukul sebelas pagi, suamiku selamat dikebumikan. Suamiku disemadikan sebelum solat Jumaat, seminggu sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Masih jelas di ingatanku, seorang ustaz pernah menyatakan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat dan disempurnakan jenazahnya sebelum solat Jumaat. Itu kelebihan yang Allah s.w.t berikan kepada arwah suamiku dan aku sekadar menunaikan haknya sahaja.
Hanya itu sumbangan terakhirku kepada suami tercinta. Harta dunia sudah tidak ada nilaiannya lagi. Suamiku dikebumikan di tempat tinggal kami, supaya mudah aku dan anak-anak melawat pusaranya.
Maka, bermulalah penghidupanku sebagai seorang balu. Kini, akulah ibu dan akulah ayah kepada anak-anakku.
Terasa berat bebanan yang terpikul di bahuku ini. Tiada lagi tempat aku dan anak-anak mengadu hal. Hanya kepada Allah s.w.t., tempat kami bergantung harap.

SELEPAS peninggalan arwah suamiku, Abang Man mengajak aku dan anak-anak, tinggal bersama-samanya. Memandangkan aku hanya menunggu hari sahaja untuk melahirkan kandunganku, aku bersetuju dengan cadangan Abang Man.
Hakikatnya, aku sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di rumah peninggalan arwah. Rumah yang banyak menyimpan kenanganku bersama arwah. Melihat baju-baju peninggalan arwah, menjadikan hatiku sayu, pilu dan sebak.
Aku tidak boleh duduk bersunyian seorang diri, pasti aku mudah terasa hati. Hati menangis dan akhirnya, air mata jatuh berderai. Aku berasa seolah-olah arwah masih berada di setiap sudut rumah kami. Amat sukar untuk aku melupakan kehadirannya.

TELAH hampir dua minggu lamanya, aku dan anak-anak menumpang di rumah Abang Man. Petang itu, hatiku tergerak untuk pulang sebentar ke rumah kami. Aku meminta izin daripada kakak iparku dan aku bawa anak-anak bersama.
Anak-anak gembira dapat kembali ke rumah sendiri dan bermain-main serta belari-lari di dalam rumah kami, yang kecil dan serba kekurangan. Buruk-buruk rumah sendiri, tidak sama dengan rumah orang.
Aku melihat-lihat bilik yang telah lama aku tinggalkan. Kenangan bersama arwah menerjah ke mindaku lagi.
Tiba-tiba, perutku terasa memulas. Sakitnya seperti tanda-tanda untuk melahirkan. Aku cuba menahannya, tetapi semakin lama sakitnya semakin menjadi-jadi.
Aku perhatikan, anak-anak masih lagi leka bermain-main. Waktu itu sekitar jam lima petang.
“Agaknya dah sampai masa untuk aku melahirkan,” bisikku sendirian.
“Syara.. ajak adik-adik masuk ke dalam kereta, kita balik sekarang.” Aku memberi arahan kepada Miasyara.
Aku memandu kenderaanku perlahan-lahan, sambil menahan kesakitan. Sesampai aku di rumah Abang Man, aku terus meluru ke bilik. Anak-anakku yang lain diuruskan oleh Syara.
“Umi mana?” Kakak iparku bertanya kepada Miasyara.
“Dalam bilik, umi sakit.”
Kakak iparku masuk ke dalam bilik dan duduk di birai katil.
“Dah sampai masa nak bersalin ke?”
“Agaknyalah...”
“Kalau pergi selepas berbuka, tak apa ke?” Waktu itu pertengahan bulan Ramadhan.
“Boleh juga,” balasku sambil menahan sakit.
Sampai waktu berbuka, tidak ada sedikit pun makanan yang mampu aku telan. Kerongkongku rasa tersekat. Sakit perutku semakin memuncak. Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, Abang Man mengajak aku pergi ke hospital.
“Nak ke hospital Seremban atau HUKM? Jarak, lebih kurang sama.” Abang Man bertanya pendapatku.
Aku mempunyai pengalaman bersalin di Hospital Seremban dan layanannya memuaskan.
“Serembanlah,” jawabku.
Abang Man memandu menuju ke Hospital Seremban. Sampai sahaja di kaunter pendaftaran, aku diarahkan ke bilik pemeriksaan. Dari bilik pemeriksaan, aku terus dibawa masuk ke Labour Room.
Tepat jam 11.45 malam, malam Jumaat, aku melahirkan Aiman. Aiman lahir, genap 21 hari selepas arwah meninggalkan kami semua.
Menitis air mataku, mengenangkan arwah yang tidak sempat menatap dan mengazankan anaknya yang seorang ini.
Arwah meninggal, jam 2.15 pagi Jumaat. Aiman lahir 11.45, malam jumaat. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Seolah-olah Aiman hadir sebagai pengganti kehilangan arwah suamiku.



Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah

No comments:

Post a Comment