MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah, Penenang Jiwa, Pencetus Idea, Penyelesai Masalah. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis. Keajaiban ISTIGHFAR sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati, dapat menyelesaikan pelbagai masalah tanpa dijangka.


Rasulullah SAW bersabda :
"Tidakkah engkau beristighfar?
Aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam
seratus kali."
(Ahmad, Ibn Majah, Hakim)


BORANG TEMPAHAN
Harga RM22 - termasuk penghantaran (ekspres)


"Untuk membaca SINOPSIS sila klik pautan di bawah"

> Klik Di Sini Untuk Membacanya <

Monday, September 24, 2012

Manusia Berusaha, Allah yang Menentukan


Bagaimana proses manusia mencapai kejayaan?

Manusia mencapai kejayaan melalui beberapa proses. Proses itu dimulakan dengan kita berusaha, kemudian bermunajat, berdoa, bertawakal dan akhirnya Allah SWT mengizinkannya.

Berusaha adalah ‘wajib’ bagi setiap muslimin dan muslimat. Kita dilarang sama sekali sekadar berdoa dan bertawakal atau berserah kepada Allah SWT, sebelum berusaha bersungguh-sungguh.

Selepas kita berusaha bermati-matian, barulah kita berdoa dan bergantung harap kepada Allah SWT. Seterusnya, bertawakal kepada Allah SWT atas apa yang telah kita usahakan.

‘Tawakal’ membawa maksud menyerahkan kembali usaha kita itu kepada Allah SWT untuk dinilai.

Jika Allah SWT mengizinkan kejayaan itu milik kita, barulah kita akan beroleh kejayaan. Jika Allah SWT tidak mengizinkan, maka kita tidak akan beroleh kejayaan.

Begitulah proses kita mencapai kejayaan. Itulah hakikat pegangan Ahli Sunah Wal-Jamaah, yang perlu kita yakini. Manusia hanya mampu berusaha dan Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Maka, janganlah kita menghina-hina orang yang tidak solat, atau merendah-rendahkan orang yang gagal dalam hidup mahu pun peperiksaan. Sesungguhnya, kita mungkin akan menjadi lebih teruk daripada mereka, jika Allah SWT berkehendak.

Sebab itu apabila muazin melaung;
'Mari menuju kejayaan'





Rasulullah SAW mengajar kita menjawab ajakan tersebut dengan kalimah;
'Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah'






Dalam erti kata lain, tidak ada sekelumit kejayaan yang mampu kita capai jika Allah SWT tidak mengizinkan. Berusaha bermati-matian pun kita tidak akan berjaya jika Allah SWT tidak mengizinkan. Oleh itu, janganlah kita sombong dan berbangga diri serta riak dengan kejayaan yang kita perolehi.  Sesungguhnya jika Allah SWT tidak mengizinkan, semua itu tidak mungkin menjadi milik kita. Sesungguhnya sombong, riak dan berbangga dengan kejayaan diri sendiri, semua itu sifat syaitan laknatullah. Wallahu'alam.


Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah
BAB 7 : ASTAGHFIRULLAH AMALAN RASULULLAH




Friday, September 21, 2012

Indahnya Peringatan Rasulullah

Indahnya cara Rasulullah SAW mengajar kita menjawab azan. Apabila muazin melaungkan kalimah;


'Mari mendirikan solat'

Maka Rasulullah SAW mengajar kita menjawab dengan kalimah;
"Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah"

Mengapa Rasulullah SAW tidak mengajar kita menjawab dengan kalimah;
‘Marilah kita beramai-ramai mendirikan solat’

Begitu juga apabila muazin melaungkan kalimah

‘Mari menuju kejayaan’

Kita diajar oleh Rasulullah SAW, untuk menjawab dengan kalimah;

"Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah’’

Mengapa Rasulullah SAW tidak mengajar kita menjawab dengan kalimah;
‘Marilah kita beramai-ramai menuju kejayaan.’


Hakikatnya, ada maksud tersirat di sebalik ini semua. Rasulullah SAW tidak mahu kita menjadi umatnya yang riak dan sombong dengan amalan kita, terutamanya solat. Rasulullah SAW tidak mahu kita menjadi umatnya yang riak dan sombong dengan kejayaan yang kita capai.

Terimalah hakikat bahawa, kita tidak mampu mendirikan solat, jika Allah SWT tidak mengizinkan. Mendengar azan berkumandang, kita tidak akan bergerak mengambil wuduk, jika Allah SWT tidak mengizinkan.

Begitu juga, tidak ada sekelumit kejayaan pun yang mampu kita capai, jika Allah SWT tidak mengizinkan. Rasulullah SAW tidak mahu kita yakin bahawa, kita berjaya kerana usaha kita semata-mata. Hakikatnya, kita berjaya kerana kita berusaha dan Allah SWT mengizinkan.

Atas sebab itulah, maka Rasulullah SAW mengajar kita menjawab azan dengan melafazkan kalimah;
 
‘Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah’
Begitu indah sekali peringatan daripada Rasulullah SAW.


Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah
BAB 7 : ASTAGHFIRULLAH AMALAN RASULULLAH

Tuesday, September 18, 2012

Astaghfirullah Amalan Rasulullah



Rasulullah SAW bersabda; “Tidakkah engkau beristighfar?
Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam seratus kali.”

(Ahmad, Ibn Majah, 
Al-Darimi, Hakim, Ibn Hibban, al-Nasa’i)

Di dalam sebuah hadis sahih yang lain, Rasulullah SAW bersabda;
“Wahai manusia, taubatlah kalian kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari
seratus kali.”
(Muslim, Ahmad, Ibn Hibban)


Para sahabat menyampaikan bahawa, Rasulullah SAW bertaubat sebanyak, 70 kali sehari dan kadangkala sehingga 100 kali setiap hari. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW berzikir dengan Astaghfirullah.. sebanyak 70 kali ke 100 kali sehari.

Dalam sebuah hadis riwayat Hudzaifah r.a., dia bertanya; “Wahai Rasul, lisanku ini sering menyakiti orang. Kebanyakan aku lakukan kepada keluargaku.”

Rasulullah SAW menjawab; “Tidakkah engkau beristighfar? Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam seratus kali.” (Ahmad, Ibn Majah, Al-Darimi, Hakim, Ibn Hibban, al-Nasa’i)

Di dalam sebuah hadis sahih yang lain, Rasulullah SAW bersabda; “Wahai manusia, taubatlah kalian kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali.” (Muslim, Ahmad, Ibn Hibban)

Namun begitu, amalan berzikir dengan Astaghfirullah.. ini, hanya dapat kita temui di dalam wirid selepas solat sahaja. Wirid selepas solat, dimulai dengan membaca Astaghfirullah.. hingga wa-atubu-ilaih sebanyak 3 kali atau 10kali.
Rasulullah SAW seorang yang kuat beramal. Katalah, baginda beristighfar sebanyak 10 kali dalam setiap wirid. Sehari semalam lima waktu, baru dapat 50 kali istighfar.

Jadi, apakah maksud tersirat daripadanya?
Maksud tersiratnya ialah mungkin Rasulullah SAW melakukan yang bakinya, di luar waktu solat. Mungkin ketika baginda sedang memetik tamar atau ketika sedang berjalan ke masjid atau waktu-waktu yang lain juga.

Oleh yang demikian, sewajarnyalah kita berzikir dengan Astaghfirullah… ini, sepanjang kita melakukan aktiviti harian kita. Sewaktu kita sedang memandu misalnya, atau sewaktu kita sedang melakukan kerja-kerja rumah, atau waktu-waktu yang lainnya.

Rasulullah SAW bertaubat sebanyak 70 kali ke 100 kali sehari, sedangkan Rasulullah SAW merupakan seorang yang maksum, yang terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat. Rasulullah SAW juga dijamin syurga oleh Allah SWT.

Siapalah kita jika hendak dibandingkan dengan baginda. Kita sekadar seorang hamba Allah yang kerap melakukan kesilapan dan kesalahan, hampir setiap waktu. Kita juga kerap melakukan dosa dan maksiat.

Sebagai seorang hamba Allah yang mengakui bahawa kita adalah di kalangan umat Nabi Muhammad SAW, maka sewajarnyalah kita mengamalkan Astaghfirullah.. ini lebih daripada baginda.

Tambahan pula, ini merupakan salah satu amalan Rasulullah SAW yang jelas dan nyata, bukan bid’ah. Maka,tidak ada sebab mengapa kita tidak mahu mencontohi sunah Rasulullah SAW ini dan mengamalkannya.

Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah
BAB 7 : ASTAGHFIRULLAH AMALAN RASULULLAH

Monday, September 17, 2012

Kawan oh Kawan II

Rasulullah SAW bersabda: “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat, melebihi akhlak yang baik.” Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi.

‘Kamu adalah siapa kawan-kawan kamu.’

“Apa maksud kata-kata ini?” soalku lagi.
“Maksudnya ialah jika kita berada dalam kumpulan budak-budak nakal, yang melakukan banyak kesalahan dan tidak berdisiplin, walaupun kita tidak melakukan kesalahan yang serupa, orang tetap akan mengatakan yang kita pun sama seperti mereka. Ini kerana kita berada dalam kumpulan itu. Apabila kerap kena tuduh, akhirnya kita pun berfikir;”

‘Aku tidak melakukan kesalahan pun kena tuduh juga. Baik aku buat, puas hati.’

“Akhirnya, kita betul-betul melakukan kejahatan itu. Jadilah kita, sama seperti mereka.”

“Begitulah sebaliknya. Apabila kita berkawan dengan orang baik-baik, orang yang berakhlak mulia. Walaupun kita nakal, orang tetap memandang kita di kalangan orang yang baik-baik. Akhirnya, kita akan benar-benar menjadi orang yang baik.”

“Anak-anakku, apabila kamu melihat ahli kumpulan kamu melakukan kesalahan, apakah yang perlu kamu lakukan?”
Anak-anakku masih lagi memberi tumpuan kepada apa yang ingin aku sampaikan.

“Langkah pertama.”
“Segeralah kita menjauhkan diri daripada kumpulan tersebut. Keluarlah daripada kumpulan itu dengan segera.”
“Andai kita terus berada di dalam kumpulan itu, kita akan mengetahui lebih banyak rahsia mereka.”

“Maka, sangat tipislah harapan kita untuk keluar daripada kumpulan tersebut.”
“Mereka akan sentiasa bersyak wasangka dengan kita. Mereka takut, kalau-kalau kita membocorkan rahsia mereka.”

“Ini sangat penting untuk kamu amalkan,” pesanku kepada anak-anakku.
“Hanya dengan cara ini sahaja, kamu dapat menye-lamatkan diri kamu, daripada terjebak dengan kawan-kawan yang tidak berakhlak.”

“Anak-anakku.. selain dari itu, ada satu lagi kaedah untuk mencari kawan yang sejati. Iaitulah dengan cara berdoa dan merayu-rayu kepada Allah SWT.”

‘Ya Allah, Ya Robbi, Ya Tuhanku. Berilah kepadaku kawan yang baik-baik, ya Allah. Yang berakhlak, ya Allah. Aku berlindung kepada-Mu ya Allah, daripada mendapat kawan-kawan yang tidak berakhlak, ya Allah. Yang buruk perangainya, ya Allah. Tiada daya upayaku ya Allah, melainkan dengan izin-Mu, ya Allah. Tiada daya upayaku ya Allah, melainkan dengan bantuan dan pertolongan-Mu, ya Allah. Sesungguhnya, ya Allah. Kepada-Mu sahajalah sebaik-baik tempat berlindung.’

“Kemudian, sambunglah dengan istighfar. Satu yang kamu jangan sampai terlupa ialah menyebut ‘Allah..’ di dalam hati sambil beristighfar.”

“Doa ini perlu kamu amalkan terutamanya apabila kamu akan berpindah sekolah, memasuki IPTA, masuk asrama penuh, bertukar tempat kerja, berpindah rumah dan sebagainya.”

“Jangan sampai, apabila telah berhadapan dengan masalah pergaulan, baru kamu hendak berdoa dan merayu-rayu kepada Allah SWT.”

“Hakikatnya, memohon berlindung itu lebih baik daripada memohon menyelesaikan masalah. Mencegah lebih baik daripada mengubati.”



Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah
BAB 7 : AKHLAK YANG BAIK

Saturday, September 15, 2012

Kawan oh.. Kawan

Assalamualaikum w.b.

Hari ini umi nak cerita pasal anak umi yang bongsu, Amir. Semalam umi baru sahaja menjemput Amir dari asrama. Dalam perjalanan yang dihiasi dengan kesesakan jalan raya, umi dan Amir sempat bersembang.

"Umi.. tadi masa di sekolah, ustaz ingatkan semua orang supaya segera bersolat. Lepas tu, ada seorang budak lelaki ni, dia jawab pada ustaz, 'sekejap la..'. Selepas itu, ustaz pun marah budak tu. Ustaz rotan dia." cerita Amir kepada umi. Apa lagi.. umi pun ambil peluang ini untuk menasihati Amir.

"Amir.. sebab itu umi selalu ingatkan Amir, 'kita adalah siapa kawan-kawan kita'. Kalau kita berkawan dengan budak yang nakal, yang selalu melanggar disiplin, yang tidak berakhlak, yang tidak hormat akan guru, melawan guru, tidak berbudi bahasa.. walaupun kita tidak melakukan kesalahan itu semua, kita tetap dipandang sebagai orang yang tidak baik juga."

"Sebaliknya.. jika kita berkawan dengan orang baik-baik, walaupun kita melakukan sedikit kesilapan, kita tetap dipandang sebagai orang yang baik-baik. Akhirnya.. kita benar-benar menjadi orang yang baik."

"Sebab itu, umi mahu Amir cari kawan di kalangan orang yang baik-baik, yang berakhlak, yang berpekerti mulia. Sebagai manusia biasa, kita tidak akan mengetahui sama ada kawan kita itu baik atau tidak. Kita boleh berkawan dengan semua orang."

"Tetapi, apabila kita melihat kawan kita melanggar disiplin atau melakukan kesalahan, maka hendaklah kita menjauhkan diri daripada kumpulan tersebut, sebelum kita mengetahui lebih banyak lagi rahsia mereka. Elakkan diri daripada berada di dalam kumpulan itu lagi."

"Selain itu, umi mahu Amir berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kawan-kawan yang berakhlak. Mohon berlindung kepada Allah SWT daripada mendapat kawan-kawan yang tidak berakhlak. Selepas doa, istighfar sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati. Amalkan selalu, insya-Allah Amir akan dapat kawan-kawan yang baik-baik." Aku berpesan kepada anakku Amir.

Amir tetap tekun mendengar setiap patah bicara yang keluar dari mulut umi.


Friday, September 14, 2012

Kelebihan Astaghfirullah..

Di dalam sebuah rancangan al-Kuliyyah, seorang ustaz undangan pada petang itu telah menyampaikan, kelebihan beramal atau berzikir dengan Astaghfirullah. Lafaz lengkap zikir ini adalah :

Astaghfirullah-hal-‘azim, allazi-la-ila-ha-illa-huwal-hayyul-qay-yumu, wa-atubu-i-laih (rujuk al-Ma’thurat). 


Yang bermaksud : ‘Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tidak ada Tuhan selain Dia, yang hidup dan selalu jaga dan aku bertaubat kepada-Mu.’

Antara kelebihan zikir ini, menurut ustaz tersebut ialah kita akan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Sekiranya kita sedang berhadapan dengan masalah atau kesukaran, Allah SWT akan menolong kita, dalam keadaan yang kita tidak jangka.

Daripada Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja yang selalu beristighfar, nescaya Allah memberikannya jalan keluar dari setiap kesulitan, kelapangan dan kegelisahan, dan rezeki tidak terduga.” (Ahmad, Abu Daud al-Nasa’i)

Beramal dengan Astaghfirullah.. juga, hati akan menjadi tenang, tidak resah gelisah, tidak keluh kesah, tidak putus asa, awet muda, positif thinking dan banyak lagi. 

Di dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Rad, 8)

Ini bermakna, jika kita rajin berzikir, terutamanya dengan Astaghfirullah.., maka kita akan memperoleh ketenangan dan ketenteraman di dalam hati kita.

Sesungguhnya, nikmat hati yang tenang, tenteram, gembira walaupun sedang berhadapan dengan kesukaran hidup, adalah suatu nikmat yang tidak ada tolok bandingnya. Suatu nikmat yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan kemewahan. 

Begitu ramai manusia yang hidup serba mewah, tetapi hati-hati mereka resah gelisah? Tidur mereka tidak lena dan jiwa mereka tidak tenteram. 

Ketenangan adalah milik Allah SWT yang hakiki dan diberi pinjam kepada kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, perbanyakkanlah berzikir dengan Astaghfirullah…, semoga Allah SWT memberi pinjam kepada kita ketenangan jiwa itu.

Selain itu, Allah SWT juga  mengingatkan kita dalam sepotong ayat al-Quran yang bermaksud : “Dan Allah tidak akan menyiksa mereka sedang mereka beristighfar.” (Al-Anfaal, 33)

Ini bermaksud, Allah SWT tidak akan menyiksa orang-orang yang beramal dengan istighfar. Dalam erti kata lain, Allah SWT akan mengampunkan dosa orang-orang yang banyak berzikir dengan Astaghfirullah.. Insya-Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda : “Barang siapa mengucapkan istighfar ini pada hari itu dengan penuh keyakinan dan mati sebelum petang, maka dia termasuk menjadi ahli syurga. Dan apabila dia mengucapkannya pada waktu malam, dengan keyakinan yang teguh dan mati pada waktu pagi, maka dia termasuk juga di kalangan ahli syurga.” (HR Bukhari)

Induk istighfar itu adalah mengucapkan;

“Wahai Allah. Engkau Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau, Engkau menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu dan aku dalam jaminan dan janji-Mu menurut kemampuanku, aku mengakui kepada-Mu atas kenikmatan-Mu padaku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa kecuali Engkau, aku berlindung kepada-Mu  dari kejahatan perbuatanku.”

Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah
BAB 7 : ASTAGHFIRULLAH.. AMALAN RASULULLAH

Monday, September 10, 2012

SINOPSIS - MENITI HARI


Rasulullah SAW bersabda : "Tidakkah engkau beristighfar?
 Aku beristighfar kepda Allah dalam sehari semalam seratus kali." 

(Ahmad, Ibn Majah, Al-Darimi, Hakim, Ibn Hibban, al-Nasa'i)


BUKU ini ditulis berdasarkan kisah kehidupan penulis bersama-sama mereka yang berada di sekeliling penulis. Penulis menulis kisah kehidupan beliau bersama ayah tunggal dan adik-beradik selain kisah kehidupan penulis bersama 5 orang anak selepas kehilangan suami tersayang. Buku ini ditulis dalam bentuk novel dan testimoni orang-orang yang mendapat bantuan khidmat nasihat daripada penulis.

Penulis merupakan seorang balu yang terpaksa membesarkan 5 orang anak setelah kematian suami. Ketika suami penulis meninggal dunia, penulis mempunyai 4 orang anak yang berusia 2, 4, 6 dan 8 tahun, manakala anak bongsu penulis masih di dalam kandungan. Penulis berasal dari Batu Pahat Johor dan kini menetap di Kajang Selangor.

Penulis membesar bersama ayah dan 8 orang adik-beradik, setelah kematian ibu ketika penulis berusia 7 tahun. Ketabahan ayah yang sanggup hidup bersendirian membesarkan 8 orang anak sehingga kesemuanya berjaya dalam hidup, menjadikan penulis seorang yang kuat dan tabah dalam mengharungi kepayahan hidup ini. Ayah merupakan idola kepada penulis.

Penulis merupakan seorang yang rajin beramal dengan zikrullah, terutama ketika sedang memandu kenderaan. Antara zikir yang kerap menjadi amalan penulis ialah Subhanallah, Lailahaillallah dan Astaghfirullah.

Walaubagaimanapun melalui pengamatan penulis, apabila penulis berhadapan dengan masalah atau kepayahan hidup atau ujian daripada Allah SWT, hanya Astaghfirullah.. sahaja yang mampu memberi ketenangan dan menghilangkan keluh kesah di dalam jiwa penulis. Tambahan lagi jika Astaghfirullah.. itu dilafazkan sambil di dalam hati menyebut 'Allah..', fikiran negatif penulis akan secara automatik bertukar menjadi positif.

Daripada Abdullah ibn Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya syaitan dan Malaikat membisikkan ke dalam hati setiap manusia. Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Ada pun bisikan para Malaikat ialah mendorong manusia supaya berbuat kebaikan dan kebenaran. Maka barangsiapa mendapati sedemikian (berbuat kebaikan), ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah SWT. Dan bersyukurlah kepada Allah SWT." (HR Tarmizi)

Daripada Anas Bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di hati anak Adam dan apabila anak Adam itu menyebut Allah, dia terus menyingkirkan diri. Dan apabila anak Adam itu melupakan Allah, dikuasainya hati anak Adam itu semula."

Berpandukan dua hadis di atas, sahihlah bahawa apabila kita menyebut 'Allah..' di dalam hati, syaitan tidak dapat membisikkan perkara yang negatif ke dalam hati kita lagi. Maka yang tinggal hanyalah bisikan positif ataupun bisikan daripada malaikat.

Banyak lagi kupasan yang dapat dibaca dan dihayati serta difahami di dalam buku ini. Naskah ini ditutup dengan satu bab yang boleh dijadikan rujukan, bertajuk Himpunan Ayat al-Quran dan Hadis Pilihan.

Di samping itu, setiap kupasan yang dibuat oleh penulis, disertakan juga dengan nas-nas daripada al-Quran dan al-Hadis. Satu lagi bab yang sangat menarik untuk dibaca dan dihayati, diberi tajuk Doa Dari Hati, mengandungi panduan berdoa dan berzikir dengan berkesan serta penuh dengan doa-doa dari sudut hati.

Berdasarkan nilai ilmu yang ada di dalam buku ini, penulis mengambil penyunting yang berilmu untuk menilai dan melakukan suntingan fakta ilmiah, sebelum naskah ini dicetak.

Salah seorang penyunting buku ini merupakan seorang ustaz bertauliah iaitu Ustaz Mat Azid Kadir, lulusan UKM dan seorang lagi merupakan Prof. Falsafah Islam di UKM iaitu Prof. Dr. Idris Zakaria. Prof. Dr. Idris Zakaria juga merupakan penulis tamu di beberapa buah majalah berbentuk islamik selain salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Tujuan utama buku ini ditulis adalah untuk mengajak para pembaca beramal dengan Astaghfirullah. Kalau boleh setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap waktu.

Dalam sebuah wawancara di TV3, Ustazah Hasni Mansor pernah ditanya, sejauh mana kebenaran bahawa Astaghfirullah.. ini apabila diamalkan, boleh melembutkan hati. Jawapan daripada Ustazah Hasni Mansor sangat ringkas; "Just do it."

Melalui pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis, jawapan itu sangat tepat. 'Buat sahaja', kita akan memperoleh pelbagai penyelesaian yang tidak kita duga. Kita akan melihat kesan dan perubahan dalam diri kita, diri anak-anak kita, keluarga kita dan sahabat handai kita, insya-Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda : "Semua hati boleh berkarat laksana besi yang berkarat. Untuk membersihkannya, dilakukan dengan istighfar." (Anas Bin Malik)

Akhirnya, penulis menyeru kepada para pembaca sekelian; "Marilah kita sama-sama beramal dengan Astaghfirullah..., sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati."

Selamat membaca dan beramal.


Daripada : Umi Aiman / Halimah Muhayat