MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah, Penenang Jiwa, Pencetus Idea, Penyelesai Masalah. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis. Keajaiban ISTIGHFAR sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati, dapat menyelesaikan pelbagai masalah tanpa dijangka.


Rasulullah SAW bersabda :
"Tidakkah engkau beristighfar?
Aku beristighfar kepada Allah dalam sehari semalam
seratus kali."
(Ahmad, Ibn Majah, Hakim)


BORANG TEMPAHAN
Harga RM22 - termasuk penghantaran (ekspres)


"Untuk membaca SINOPSIS sila klik pautan di bawah"

> Klik Di Sini Untuk Membacanya <

Monday, September 10, 2012

SINOPSIS - MENITI HARI


Rasulullah SAW bersabda : "Tidakkah engkau beristighfar?
 Aku beristighfar kepda Allah dalam sehari semalam seratus kali." 

(Ahmad, Ibn Majah, Al-Darimi, Hakim, Ibn Hibban, al-Nasa'i)


BUKU ini ditulis berdasarkan kisah kehidupan penulis bersama-sama mereka yang berada di sekeliling penulis. Penulis menulis kisah kehidupan beliau bersama ayah tunggal dan adik-beradik selain kisah kehidupan penulis bersama 5 orang anak selepas kehilangan suami tersayang. Buku ini ditulis dalam bentuk novel dan testimoni orang-orang yang mendapat bantuan khidmat nasihat daripada penulis.

Penulis merupakan seorang balu yang terpaksa membesarkan 5 orang anak setelah kematian suami. Ketika suami penulis meninggal dunia, penulis mempunyai 4 orang anak yang berusia 2, 4, 6 dan 8 tahun, manakala anak bongsu penulis masih di dalam kandungan. Penulis berasal dari Batu Pahat Johor dan kini menetap di Kajang Selangor.

Penulis membesar bersama ayah dan 8 orang adik-beradik, setelah kematian ibu ketika penulis berusia 7 tahun. Ketabahan ayah yang sanggup hidup bersendirian membesarkan 8 orang anak sehingga kesemuanya berjaya dalam hidup, menjadikan penulis seorang yang kuat dan tabah dalam mengharungi kepayahan hidup ini. Ayah merupakan idola kepada penulis.

Penulis merupakan seorang yang rajin beramal dengan zikrullah, terutama ketika sedang memandu kenderaan. Antara zikir yang kerap menjadi amalan penulis ialah Subhanallah, Lailahaillallah dan Astaghfirullah.

Walaubagaimanapun melalui pengamatan penulis, apabila penulis berhadapan dengan masalah atau kepayahan hidup atau ujian daripada Allah SWT, hanya Astaghfirullah.. sahaja yang mampu memberi ketenangan dan menghilangkan keluh kesah di dalam jiwa penulis. Tambahan lagi jika Astaghfirullah.. itu dilafazkan sambil di dalam hati menyebut 'Allah..', fikiran negatif penulis akan secara automatik bertukar menjadi positif.

Daripada Abdullah ibn Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya syaitan dan Malaikat membisikkan ke dalam hati setiap manusia. Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Ada pun bisikan para Malaikat ialah mendorong manusia supaya berbuat kebaikan dan kebenaran. Maka barangsiapa mendapati sedemikian (berbuat kebaikan), ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah SWT. Dan bersyukurlah kepada Allah SWT." (HR Tarmizi)

Daripada Anas Bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya di hati anak Adam dan apabila anak Adam itu menyebut Allah, dia terus menyingkirkan diri. Dan apabila anak Adam itu melupakan Allah, dikuasainya hati anak Adam itu semula."

Berpandukan dua hadis di atas, sahihlah bahawa apabila kita menyebut 'Allah..' di dalam hati, syaitan tidak dapat membisikkan perkara yang negatif ke dalam hati kita lagi. Maka yang tinggal hanyalah bisikan positif ataupun bisikan daripada malaikat.

Banyak lagi kupasan yang dapat dibaca dan dihayati serta difahami di dalam buku ini. Naskah ini ditutup dengan satu bab yang boleh dijadikan rujukan, bertajuk Himpunan Ayat al-Quran dan Hadis Pilihan.

Di samping itu, setiap kupasan yang dibuat oleh penulis, disertakan juga dengan nas-nas daripada al-Quran dan al-Hadis. Satu lagi bab yang sangat menarik untuk dibaca dan dihayati, diberi tajuk Doa Dari Hati, mengandungi panduan berdoa dan berzikir dengan berkesan serta penuh dengan doa-doa dari sudut hati.

Berdasarkan nilai ilmu yang ada di dalam buku ini, penulis mengambil penyunting yang berilmu untuk menilai dan melakukan suntingan fakta ilmiah, sebelum naskah ini dicetak.

Salah seorang penyunting buku ini merupakan seorang ustaz bertauliah iaitu Ustaz Mat Azid Kadir, lulusan UKM dan seorang lagi merupakan Prof. Falsafah Islam di UKM iaitu Prof. Dr. Idris Zakaria. Prof. Dr. Idris Zakaria juga merupakan penulis tamu di beberapa buah majalah berbentuk islamik selain salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Tujuan utama buku ini ditulis adalah untuk mengajak para pembaca beramal dengan Astaghfirullah. Kalau boleh setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap waktu.

Dalam sebuah wawancara di TV3, Ustazah Hasni Mansor pernah ditanya, sejauh mana kebenaran bahawa Astaghfirullah.. ini apabila diamalkan, boleh melembutkan hati. Jawapan daripada Ustazah Hasni Mansor sangat ringkas; "Just do it."

Melalui pengalaman penulis dan rakan-rakan yang meminta bantuan daripada penulis, jawapan itu sangat tepat. 'Buat sahaja', kita akan memperoleh pelbagai penyelesaian yang tidak kita duga. Kita akan melihat kesan dan perubahan dalam diri kita, diri anak-anak kita, keluarga kita dan sahabat handai kita, insya-Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda : "Semua hati boleh berkarat laksana besi yang berkarat. Untuk membersihkannya, dilakukan dengan istighfar." (Anas Bin Malik)

Akhirnya, penulis menyeru kepada para pembaca sekelian; "Marilah kita sama-sama beramal dengan Astaghfirullah..., sambil menyebut 'Allah..' di dalam hati."

Selamat membaca dan beramal.


Daripada : Umi Aiman / Halimah Muhayat



Sunday, September 9, 2012

PERGI TAK KEMBALI


H
ari itu, kami sampai di rumah sekitar jam 8.45 malam. Waktu itu, aku sedang sarat mengandungkan anak bongsuku Aiman. Kandunganku ketika itu lebih kurang lapan bulan. Aku dijangka akan melahirkan bayiku dalam tempoh tiga minggu lagi.  
Oleh sebab keletihan selepas berjalan jauh, aku meminta izin daripada suamiku untuk mandi dan seterusnya ke bilik tidur.
Sebenarnya, kami baru sahaja pulang dari Cherating, Pahang. Suamiku mendapat tawaran penginapan hotel percuma selama 3 hari 2 malam. Kami mengambil peluang itu untuk bergembira bersama anak-anak. Bukan selalu kami mendapat peluang seperti ini.

SEKITAR jam dua pagi, aku dikejutkan dengan tangisan Aima. Ketika itu, Aima baru berusia dua tahun. Kami menyambut ulang tahun kelahiran Aima, dua minggu sebelum bercuti ke Cherating.
Serentak dengan tangisan Aima, kedengaran suara suamiku mengigau. Suara igauannya, saling tak tumpah seperti igauannya satu minggu yang lalu.
Satu minggu sebelum itu, suamiku mengigau seperti itu juga. Cuma waktunya berbeza. Waktu itu, suamiku mengigau sekitar jam enam pagi. Apabila aku mengejutkannya, dia tersenyum sendirian.
“Jumpa bidadari ke bang?” Aku mengusik suamiku.
“Yalah.. abang mimpi jumpa perempuan cantik,” balas suamiku spontan.
Peristiwa itu berulang lagi malam ini. Aku segera ke ruang tamu kerana suami dan anak-anakku, kesemuanya tidur di ruang tamu.
Aku melihat Aima berada di hujung kaki suamiku. Anak-anakku yang lain, lena bersebelahan ayah mereka. Aku menarik Aima dari hujung kaki ayahnya. Mungkin suamiku tertendang Aima, sehingga menyebabkan dia menangis.
Aku mengalih pandangan kepada suamiku pula. Aku mengejutkan suamiku beberapa kali, namun dia tetap tidak terjaga.
Aku lihat tangannya memegang leher dan matanya putih memandang ke atas. Aku mula mengesyaki sesuatu yang tidak baik dan hatiku berasa kurang enak.
“Lain macam igauan suamiku hari ini,” hatiku berbisik.
Aku membaca ayat Kursi dan aku hembuskan ke teliga suamiku. Aku lihat suamiku mula lemah, lalu aku membisikkan Kalimah Syahadah di telinganya. Beberapa saat kemudian, aku lihat suamiku terkulai layu. Aku tergamam seketika.
Aku mencari-cari nadi di pergelangan tangannya, namun gagal. Aku cari pula nadi di lehernya, juga tidak ketemu. Aku tidak berputus asa, aku mengejut suamiku lagi.
“Abang.. Abang.. Bangun bang!”
“Abang.. Kenapa ni?”
“Astaghfirullah.. Apa dah jadi ni?” Aku menjadi cemas. Akhirnya aku membuat keputusan untuk meminta bantuan daripada jiran-jiranku.
“Tok! Tok! Tok!”
“Assalamualaikum Kak Wa!” Aku memanggil jiran bawah rumahku.
“Waalaikumussalam! Ada apa, Aya?” tanya jiranku itu.
“Entahlah Kak Wa.. nak minta tolong tengokkan suami saya.”
“Kenapa?” tanya Kak Wa lagi.
“Siapa tu?” kedengaran suara suami Kak Wa dari dalam bilik.
“Aya, bang! Minta tolong tengokkan suaminya!”
“Ha.. yalah! Sekejap abang datang!”
Suami Kak Wa keluar dan mengikut aku ke rumah. Suami Kak Wa merupakan seorang pemandu teksi dan berumur dalam lingkungan lima puluhan. Dia dan keluarganya adalah jiran yang paling rapat denganku.
“Aya.. abang rasa, suami kamu ni dah tak ada.”
“Betul ke bang?” Aku menjadi tidak keruan.
“Cuba kamu panggilkan Simah. Dia jururawat, tentu dia tahu,” beritahu suami Kak Wa lagi.
Aku pun memanggil Simah dan memberitahunya hal yang berlaku. Simah masuk ke dalam rumah dan menghampiri tubuh suamiku. Dibelek-beleknya mata suamiku yang terpejam rapat.
“Kak.. rasanya suami akak ni, memang dah tak ada. Orang kalau dah meninggal, mata hitamnya akan membesar.” Jelas Simah kepadaku.
Aku mengambil peluang, melihat mata hitam suamiku. Ya, benar seperti kata Simah. Aku terpaku, tidak mampu berkata-kata. Namun begitu, aku redha dengan ketentuan Allah SWT ini.
“Allah sedang menguji aku.” Aku berbisik di dalam hati.

AKU membuat persiapan, apa-apa yang patut. Suami Kak Wa banyak membantu aku menguruskan jenazah arwah suamiku. Aku lihat anak-anakku berkumpul di satu sudut. Aima berada di pangkuanku.
Tiada seorang pun anak-anakku yang menangis. Mereka melihat sekujur tubuh ayah mereka dengan pandangan yang kosong. Walhal mereka sangat rapat dengan ayah mereka. Tidur mereka sentiasa ditemani arwah.
Aku dapat merasakan, itulah permulaan bantuan daripada Allah SWT kepadaku. Bantuan Allah SWT, dalam menghadapi keadaan yang sangat sukar ini.
Pada pandanganku, bukan anak-anakku tidak menyayangi ayah mereka. Tetapi Allah SWT memelihara mereka dan hati-hati mereka daripada terluka dan bersedih. Anak-anakku kelihatan tabah menghadapi ujian ini. Sekurang-kurangnya aku yakin begitu.

AKU menelefon Abang Man. Malangnya panggilanku tidak di angkat. Kemudian aku menghubungi Kak Mie pula.
“Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!”
“Kak Mie.. Aya ni. Aya nak beritahu, suami Aya dah tak ada.” Nada suaraku mula tersekat-sekat.
“Kenapa? Kemalangan ke?” Pada fikiran Kak Mie, kami terlibat dengan kemalangan. Ini kerana semua orang tahu yang kami bercuti ke Cherating.
“Tak.. di rumah, dalam tidur,” ujarku.
“Kak Mie tolong beritahu yang lain, ye.. Tadi Aya telefon Abang Man, tak angkat.”
“Baiklah.. nanti Kak Mie beritahu mereka. Siapa lagi yang ada di sana?”
“Tak ada sesiapa, jiran-jiran sahaja.” Air mataku mula berderai.

“AYA… dah telefon keluarga arwah?” teguran suami Kak Wa memecah lamunanku.
“Yalah bang.. tolong jemputkan abang arwah, rumah dia tidak ada telefon,” pintaku.
Abang iparku tinggal di Jalan Kelang Lama. Pada fikiranku, sudah tentu suami Kak Wa tahu jalan-jalan di Lembah Kelang. Aku meminta Miasyara dan Aisyam menunjukkan jalan.
Lebih kurang pukul sebelas pagi, suamiku selamat dikebumikan. Suamiku disemadikan sebelum solat Jumaat, seminggu sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Masih jelas di ingatanku, seorang ustaz pernah menyatakan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat dan disempurnakan jenazahnya sebelum solat Jumaat. Itu kelebihan yang Allah s.w.t berikan kepada arwah suamiku dan aku sekadar menunaikan haknya sahaja.
Hanya itu sumbangan terakhirku kepada suami tercinta. Harta dunia sudah tidak ada nilaiannya lagi. Suamiku dikebumikan di tempat tinggal kami, supaya mudah aku dan anak-anak melawat pusaranya.
Maka, bermulalah penghidupanku sebagai seorang balu. Kini, akulah ibu dan akulah ayah kepada anak-anakku.
Terasa berat bebanan yang terpikul di bahuku ini. Tiada lagi tempat aku dan anak-anak mengadu hal. Hanya kepada Allah s.w.t., tempat kami bergantung harap.

SELEPAS peninggalan arwah suamiku, Abang Man mengajak aku dan anak-anak, tinggal bersama-samanya. Memandangkan aku hanya menunggu hari sahaja untuk melahirkan kandunganku, aku bersetuju dengan cadangan Abang Man.
Hakikatnya, aku sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di rumah peninggalan arwah. Rumah yang banyak menyimpan kenanganku bersama arwah. Melihat baju-baju peninggalan arwah, menjadikan hatiku sayu, pilu dan sebak.
Aku tidak boleh duduk bersunyian seorang diri, pasti aku mudah terasa hati. Hati menangis dan akhirnya, air mata jatuh berderai. Aku berasa seolah-olah arwah masih berada di setiap sudut rumah kami. Amat sukar untuk aku melupakan kehadirannya.

TELAH hampir dua minggu lamanya, aku dan anak-anak menumpang di rumah Abang Man. Petang itu, hatiku tergerak untuk pulang sebentar ke rumah kami. Aku meminta izin daripada kakak iparku dan aku bawa anak-anak bersama.
Anak-anak gembira dapat kembali ke rumah sendiri dan bermain-main serta belari-lari di dalam rumah kami, yang kecil dan serba kekurangan. Buruk-buruk rumah sendiri, tidak sama dengan rumah orang.
Aku melihat-lihat bilik yang telah lama aku tinggalkan. Kenangan bersama arwah menerjah ke mindaku lagi.
Tiba-tiba, perutku terasa memulas. Sakitnya seperti tanda-tanda untuk melahirkan. Aku cuba menahannya, tetapi semakin lama sakitnya semakin menjadi-jadi.
Aku perhatikan, anak-anak masih lagi leka bermain-main. Waktu itu sekitar jam lima petang.
“Agaknya dah sampai masa untuk aku melahirkan,” bisikku sendirian.
“Syara.. ajak adik-adik masuk ke dalam kereta, kita balik sekarang.” Aku memberi arahan kepada Miasyara.
Aku memandu kenderaanku perlahan-lahan, sambil menahan kesakitan. Sesampai aku di rumah Abang Man, aku terus meluru ke bilik. Anak-anakku yang lain diuruskan oleh Syara.
“Umi mana?” Kakak iparku bertanya kepada Miasyara.
“Dalam bilik, umi sakit.”
Kakak iparku masuk ke dalam bilik dan duduk di birai katil.
“Dah sampai masa nak bersalin ke?”
“Agaknyalah...”
“Kalau pergi selepas berbuka, tak apa ke?” Waktu itu pertengahan bulan Ramadhan.
“Boleh juga,” balasku sambil menahan sakit.
Sampai waktu berbuka, tidak ada sedikit pun makanan yang mampu aku telan. Kerongkongku rasa tersekat. Sakit perutku semakin memuncak. Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, Abang Man mengajak aku pergi ke hospital.
“Nak ke hospital Seremban atau HUKM? Jarak, lebih kurang sama.” Abang Man bertanya pendapatku.
Aku mempunyai pengalaman bersalin di Hospital Seremban dan layanannya memuaskan.
“Serembanlah,” jawabku.
Abang Man memandu menuju ke Hospital Seremban. Sampai sahaja di kaunter pendaftaran, aku diarahkan ke bilik pemeriksaan. Dari bilik pemeriksaan, aku terus dibawa masuk ke Labour Room.
Tepat jam 11.45 malam, malam Jumaat, aku melahirkan Aiman. Aiman lahir, genap 21 hari selepas arwah meninggalkan kami semua.
Menitis air mataku, mengenangkan arwah yang tidak sempat menatap dan mengazankan anaknya yang seorang ini.
Arwah meninggal, jam 2.15 pagi Jumaat. Aiman lahir 11.45, malam jumaat. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui. Seolah-olah Aiman hadir sebagai pengganti kehilangan arwah suamiku.



Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah

AYAHKU IDOLAKU


A
ku kehilangan emak ketika berusia tujuh tahun. Emak kesayanganku meninggal dunia kerana menderita barah payudara. Pemergian emak menyebabkan kami sembilan beradik kehilangan tempat bermanja.
Hanya kepada ayah tempat kami bergantung. Aku membesar bersama seorang kakak, tiga orang abang, seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan. Kakak sulungku yang berusia tujuh belas tahun ketika itu, telah pun mendirikan rumahtangga.
Kak Mie merupakan anak ayah yang kedua dan dialah yang banyak berkorban membantu ayah, membesarkan kami dalam serba kekurangan. Kak Mie berumur empat belas tahun ketika emak pergi buat selama-lamanya.
Selepas emak tiada, ayah bertahan untuk tidak berkahwin lagi. Ini kerana ayah sedar, tidak semua ibu tiri bertanggungjawab dan bertimbang rasa. Kebiasaannya, ibu tiri digambarkan sebagai seorang yang zalim. Ini menjadikan ayah keberatan untuk mencari pengganti emak.
Kekuatan semangat dan jati diri ayah, menjadi contoh dan teladan kepadaku dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, selepas kematian arwah suamiku.
Sedangkan ayah seorang lelaki, berjaya membesarkan kami lapan beradik, sehingga kesemuanya berjaya dalam hidup, apatah lagi aku seorang wanita, ibu yang mengandung dan melahirkan anak-anakku. Sesungguhnya ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.
Kalau ayah berjaya mendidik lapan orang anaknya, aku juga mahu begitu. Aku percaya aku boleh melakukannya dengan bantuan Allah s.w.t. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Aku berharap begitu. Ayah juga pernah mendapat Anugerah Keluarga Contoh daripada kerajaan negeri Johor.
Dalam diam, aku menjadikan ayah idolaku. Dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, aku banyak mengikuti teladan ayah. Kekuatan semangat ayah, banyak memberi motivasi kepada diriku dan anak-anak.
Aku kerap bercerita kisah silamku kepada anak-anak, agar menjadi panduan dan batasan kepada mereka dalam menjalani kesusahan dan kepayahan hidup ini. Kelihatan seolah-olah, perjalanan hidupku berulang kepada anak-anakku.

SUASANA pagi itu dingin sekali. Kabus kelihatan menyelubungi sekeliling rumah kami, yang terletak dipinggir kampung. Kebetulan malam tadi hujan turun mencurah-curah.
Jam meja menunjukkan pukul enam pagi ketika ayah mengejutkan aku dan abang-abangku. Kami bergilir-gilir mandi air kolam di depan rumah.
Aku dan abang-abangku belajar di Sekolah Kebangsaan Parit Kumang. Aku berada dalam darjah satu. Abang Man belajar dalam darjah tiga dan Abang Zek dalam darjah lima. Manakala Abang Zain pula berada dalam darjah enam. Abang Zek dan Abang Zain hanya berbeza umur satu tahun sahaja.
Kak Mie belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Kumang. Tiga orang lagi adikku yang belum bersekolah, tinggal bersama atuk sebelah emak, Atuk Tun.
“Sejuknya!” Aku memeluk tubuh, termenung beberapa minit di tepi kolam.
“Cepatlah Aya! Nanti lambat sampai ke sekolah!” Abang Man menegurku.
“Sejuklah bang!”
“Pagi-pagi begini, memanglah sejuk! Lepas mandi, terus gosok gigi!” Arah abang Man lagi.
Aku mencapai baju sekolah yang sedia tersidai di dinding. Sepasang baju sekolah yang lusuh dan tidak bergosok, aku sarungkan ke badan. Aku lihat abang-abangku telah siap berpakaian.
Kami menjenguk ke ruang dapur. Terhidang cucur tepung, di atas tikar mengkuang yang telah pudar warnanya. Tidak ada air teh mahupun kopi panas untuk kami seperti kebiasaan orang lain bersarapan.
Hanya itu yang mampu Kak Mie sediakan untuk kami pagi itu. Itu pun sudah memadai. Kadang-kadang kami terpaksa ke sekolah tanpa dapat mengalas perut.

EMAK kesayanganku kini sedang dirawat di Hospital Tun Aminah. Sudah enam bulan aku tidak dapat berjumpa dengan emak. Emak terpaksa dirawat di hospital kerana menjalani pembedahan membuang payudara.
Emak terpaksa berjuang untuk hidup, demi kami anak-anaknya. Emak menanggung penderitaan itu sendirian, tanpa kami di sisi. Ayah tidak mampu untuk kerap menjenguk emak di hospital kerana kehidupan kami sekeluarga yang kesempitan.
Semasa emak dirawat di Hospital Batu Pahat, dapatlah aku adik beradik dan ayah melawat emak. Apabila emak dipindahkan ke Hospital Tun Aminah, kami tidak lagi dapat melawat emak kerana kos tambangnya yang mahal.
Tapi, semalam ayah memberitahu kami, yang emak dapat cuti daripada hospital. Emak balik ke rumah atuk. Hari ini, selepas waktu persekolahan, kami semua akan melawat emak. Esok hari jumaat, sekolah cuti hujung minggu.
“Esok, kita semua pergi rumah atuk. Emak kamu dah balik. Emak kamu dapat cuti daripada hospital.” Ayah memberitahu kami ketika kami sedang makan malam.
Kami semua berasa seronok sekali. Hati berbunga membayangkan pertemuan dengan emak yang kami rindui.
“Seronoknya.. esok dapat jumpa mak!” ujarku ceria.
“Yalah tu.. anak manja!” Abang Man mencelah.
“Abang tu, apa kurangnya. Emak sayangkan abang. Sikit-sikit abang, sikit-sikit abang. Jelous tau.”
“Abang kan budak baik.”
“Perasan.” Aku mengejek Abang Man kembali.
Abang Man seorang yang sangat lembut dengan emak dan ayah. Setiap kali tetamu datang ke rumah kami dan menghulurkan sepuluh atau dua puluh sen, sudah pasti duit itu akan Abang Man serahkan kepada emak. Dia tidak pernah merasakan yang duit itu miliknya. Berlainan dengan aku atau Abang Zek. Duit itu akan kami gunakan untuk membeli aiskrim.

SELEPAS waktu persekolahan pada hari itu, aku dan abang-abangku berjalan kaki menuju ke rumah atuk. Kami lengkap berpakaian seragam sekolah.
Rumah atuk terletak di pekan, lebih kurang dua kilometer dari Sekolah Kebangsaan Parit Kumang. Lelah berjalan, kami berhenti sebentar di tepi jalan.
Sampai di rumah atuk, kami memberi salam. Aku berlari, menuju ke arah emak yang sedang duduk di tiang seri rumah. Emak kelihatan lesu dan lemah.
Namun begitu, riak wajahnya kelihatan ceria. Sudah tentu emak berasa gembira kerana dapat berjumpa kami setelah lama terpisah.
“Emak!!!”
Aku peluk emak erat-erat, sepuas hatiku. Aku mencium pipi emak kanan dan kiri. Aku tidak mahu berpisah dengan emak lagi. Emak mengelus-elus rambutku lembut.
Aku lihat wajah emak sudah banyak berubah dari sebelumnya. Muka emak kelihatan tembam dan badan emak nampak gempal.
“Emak gemuklah,” luahku.
“Bukan gemuk nak.. badan emak bengkak-bengkak. Doktor kata bengkak air,” jelas emak lagi.
“Sakit tak mak?” Aku sedih melihat keadaan emak.
Emak terdiam seketika. Kelihatan sayu wajah emak, memberi jawapan kesengsaraan yang sedang ditanggungnya. Aku menitiskan air mata melihat penderitaan emak.
“Mak.. emak balik sampai bila?”
Aku cuba menceriakan keadaan. Aku berharap emak tidak akan meninggalkan kami lagi.
“Aya.. doktor bagi mak cuti satu minggu. Emak rindu sangat kat anak-anak emak. Sebab itulah emak minta cuti.”
“Kami pun rindu kat mak..” Aku memeluk emak lagi.
“Emak.. selama emak tak ada ni kan, kami makan nasi lauk ikan masin je. Tak ada orang nak masak.”
“Emak baliklah rumah kita. Aya tak nak emak masuk hospital lagi.” Aku merengek sambil melentokkan kepala ke dada emak.
Emak membelai rambutku lemah. Setitis air jernih yang hangat, menyentuh pipiku. Melihat emak menangis, aku pun turut menitiskan air mata. Keadaan menjadi pilu seketika.
“Sudahlah tu.. mari makan sama-sama!” Suara atuk memecah kesunyian.  
Emak nampak gembira dapat berjumpa dengan kami adik beradik. Atuk menjamu kami makan tengah hari. Kami menjamah makanan dengan penuh selera kerana dapat makan bersama-sama dengan emak. Sudah lama kami tidak dapat merasai suasana seperti ini. Ayah dan Kak Mie sampai pada sebelah petang. Malam itu kami tidur di rumah atuk.

SUDAH seminggu emak menginap di rumah atuk. Pagi Khamis itu, hatiku berdebar-debar dan tidak bersemangat untuk ke sekolah. Fikiranku kosong, melayang-layang. Aku sendiri kurang pasti sebabnya. Suasana pagi itu hening dan berkabus.
Kami adik beradik melangkahkan kaki perlahan-lahan menuju ke sekolah. Seperti lazimnya, kami pergi ke sekolah berjalan kaki. Jarak antara sekolah dan rumah kami lebih kurang lima kilometer. Ayah tidak mampu membelikan kami basikal, untuk kami kayuh ke sekolah. Kadang-kadang kami berjalan bersama anak-anak jiran yang senasib dengan kami.
Esok hari jumaat. Aku berharap dapat berjumpa dengan emak lagi. Kalau boleh setiap hari aku hendak berjumpa dengan emak. Aku nak bawa emak balik ke rumah kami, tinggal dengan kami. Aku nak tolong jaga emak. Aku belum puas lagi bermanja dengan emak.

MATA pelajaran pertama bermula pada pukul 7.30 pagi. Cikgu Hasnah mula mengajar Bahasa Melayu, tetapi aku tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran pada hari itu.
Aku asyik teringat dan terbayang akan wajah emak, senyuman emak, belaian emak, kasih sayang emak dan keperihatinan emak kepada kami adik-beradik.
Entahlah, aku pun tidak pasti, mengapa perasaanku berlainan sekali pada pagi ini. Hatiku menjerit-jerit, “Aya rindu.. emak! Aya sayang.. emak!”
Tiba-tiba, suasana bilik darjah menjadi sepi seketika. Waktu itu lebih kurang pukul sembilan pagi. Seorang kerani datang ke kelasku dan membisikkan sesuatu ke telinga Cikgu Hasimah. Cikgu Hasimah mengajar matapelajaran Matematik.
Aku lihat Abang Man, Abang Zek dan Abang Zain, berdiri di tepi pintu kelasku. Dadaku mula berdebar-debar.          
“Rohaya!”
Cikgu Hasimah memanggil namaku. Aku terkejut daripada lamunan dan segera berdiri.
“Takziah.. emak kamu, telah meninggal dunia. Bersabarlah ye. Sekarang, saya benarkan kamu balik.” Suara Cikgu Hasimah tersekat-sekat. Seisi kelas memandang ke arahku.
Tiba-tiba hatiku terasa sayu dan sebak sekali. Terasa diri terasing jauh, entah di mana. Air mata mengalir tanpa aku sedari.
Aku mengambil beg sekolah dan meluru ke arah abang-abangku. Aku menangis tersedu-sedu. Kelihatan ayah menunggu kami di kantin. Kak Mie telah mendahului kami ke rumah atuk.
“Abang.. mak dah tak ada,” rintihku.
“Sabar, ye Aya..” Abang Man memujukku.
“Lepas ni, kita macam mana bang? Kita dah tak ada emak lagi.”
“Kita kan masih ada ayah. Kita duduklah dengan ayah.”
“Tapi.. Aya nak emak. Aya nak duduk dengan emak dan ayah.” Aku menangis di sisi Abang Man.
“Lepas ni, sape nak masak untuk kita. Basuh baju kita.” Tangisku masih belum berhujung.
“Kita buatlah sama-sama. Kita tolong Kak Mie.” Biasanya Kak Mie yang melakukan semua tugas itu.
“Kita nak manja dengan siapa bang..” Aku menangis sepuas-puasnya.

SAMPAI di rumah atuk, aku lihat orang ramai telah memenuhi halaman rumah. Suasana sedih menyelubungi seluruh isi rumah dan sekitarnya. Di halaman rumah, kelihatan orang ramai sedang membuat keranda.
Di atas rumah, kedengaran suara orang membaca surah Yassin, sayup dan sayu. Aku naik ke atas rumah. Di satu sudut, aku lihat kakak sulungku dan Kak Mie sedang membaca Yassin.
Adik-adikku yang masih kecil kelihatan leka bermain-main. Mereka masih tidak mengerti kehilangan yang berlaku.
Aku tatap wajah emak sepuas hati. Belum puas kami bermanja, emak telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku tidak akan dapat berjumpa dengan emak lagi.
Emak dikebumikan, hari itu juga. Kini, kami adik beradik menjadi yatim. Air mataku mengalir laju. Kami diibaratkan seperti anak ayam kehilangan ibu.

Di petik dari naskah
MENITI HARI - Astaghfirullah Amalan Rasulullah,
Penenang Jiwa, Pencetus idea, Penyelesai Masalah

Wednesday, October 12, 2011

Assalamualaikum w.b.

Minggu ini umi buat pasaran di sekolah-sekolah. Alhamdulillah.. sambutan yang menggalakkan. Ada  sekolah yang berminat menjemput umi untuk memberi sedikit 'talk' dan motivasi kepada calon-calon PMR yang baru sahaja habis menduduki peperiksaan. Insya Allah.. umi akan gunakan peluang ini untuk berkongsi pengalaman umi dalam mengharungi hidup yang penuh liku ini.

Tidak lupa juga, umi akan menekankan kepentingan beramal dengan amalan Astaghfirullah.. seperti yang kita amalkan dalam wirid selepas solat. Ini amalan Rasulullah.. jadi tidak ada sebab untuk kita tidak mengamalkannya pula.

Anak-anak umi nak tau tak.. hari ini umi dapat masej dari Tg Asmadi Tg Mohamad.. Dia belum sempat membaca novel umi lagi, tapi sekadar sempat membelek-belek isi kandungannya. Komen darinya, 'bagus'. Umi gembira sangat.. Umi harap beliau sudi untuk sama-sama memasarkan buku umi ini, insya Allah.

Hari ini.. umi nak kongsi sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi, "Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya (pada hari kiamat), melebihi akhlak yang baik." Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi

Maka berbuat baiklah kita sesama hamba Allah, terutamanya kepada orang yang lebih tua dari kita, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu bapa kita.

Sekian, wassalam.

Friday, October 7, 2011

Assalamualaikum w.b.


Hari ini, umi bg buku umi pd guru besar skk sk jln 3 dan beberapa orang warganya. Strategi promosi.. Mereka menerimanya dengan baik, alhamdulillah. Umi sangat berbesar hati dengan penerimaan mereka semua.

Petang tadi, umi ambil pula anak di sbpi. Sebelum ini, umi ada bg sebuah, novel MENITI HARI pada anak umi untuk dipinjamkan kepada kawan2 asramanya. Maka ramailah yang 'after n after'. Alhamdulillah.. umi dah dpt menarik remaja mendekatinya (buku ilmiah dlm bentuk novel). Satu drp hasrat umi telah tercapai.

Salah seorang kwnnya yg telah tamat membaca buku tersebut, memberi komen; 'Selama ini sy solat dan menyebut 'Allah..' dlm hati. Tapi sy tak tahu kenapa. Hari ini baru sy dpt jawapannya. Byk dlm buku ini berjaya mengubah diri saya.'

Umi sangat gembira mendengar fedback ini. Alhamdulillah.. maknanya umi telah berjaya berkongsi ilmu dengan naskah ini.

Umi berhenti di sini dulu. Jumpa lagi di lain waktu. Wassalam.


Thursday, October 6, 2011

Assalamualaikum semua..


Hari ini umi kurang sehat, dari semalam lagi. Semalam, umi jumpa ustaz yang tolong edit buku umi. Umi bg dia 5 buah. Pastu, bagi 5 buah lagi pada Prof yang edit buku Meniti Hari tu. Bagi juga 5 buah pada cikgu yang tolong edit tatabahasa dan ejaan. Rasa lega lepas jumpa dia orang semua. Tengah hari, umi mula rasa nak demam. 

Hari ini, umi dah pun poskan buku Meniti Hari kepada Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, untuk penilaian beliau. Umi saje minta tolong dia. Lepas tu, bg juga sebuah pada Dr Fadhilah Kamsah. Tak tau la, apa komen mereka. Nanti, kalau mereka bg komen apa2.. umi akan kongsi dengan semua.

Umi tak lupa juga kpd pemimpin yang kita kasihi, mudah2an Allah lembutkan hati2 mereka untuk beramal dengan Astaghfirullah.. Umi bg buku umi pada PM, TPM, Datuk Zahid Hamidi, Datuk Sidek Hassan, Tun Mahathir dan tak lupa juga kepada Datuk Sri Hishamuddin. Mudah2an ada yang dpt dimanfaatkan daripadanya.

Ok anak-anak umi semua. Sebelum umi mengundur diri, umi nak ingatkan, Istighfar setiap kali datang lintasan ke minda kita untuk beristighfar. Ini kerana lintasan itu sebenarnya ialah peringatan dari malaikat. Andai kita tidak menyambutnya, maka ingatan itu akan berlalu pergi dan kita tidak akan diingatkan lagi oleh malaikat. Cuba anak-anak umi hayati hadis di bawah ini:

Dari Abdullah ibn Masud r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya syaitan dan Malaikat membisikkan ke dalam hati setiap manusia. Syaitan sentiasa membisikkan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Ada pun bisikan para Malaikat ialah mendorong manusia supaya berbuat kebaikan dan kebenaran. Maka barangsiapa mendapati sedemikian (berbuat kebaikan), ketahuilah bahawa ia adalah daripada Allah s.w.t. Dan bersyukurlah kepada Allah s.w.t.” (HR Tarmizi) 

Wassalam.. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Monday, October 3, 2011


Assalamualaikum semua..


Alhamdulillah.. Novel pertama umi baru siap dicetak. Pagi ni tadi, baru umi dapat menatapnya buat kali pertama. Puas rasa hati, dapat melihat hasil tangan sendiri untuk dikongsi bersama dengan orang lain. Sepenuh kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t. yang Maha Pencipta kerana memudahkan semua urusan..

Terima kasih kepada En Rushdan kerana memudahkan urusan percetakan dan bertolak ansur dalam menentukan kos cetakan.

Segunung ucapan terima kasih kepada mereka2 yang meluangkan masa, membaca novel ini dan bermurah hati membantu meng'edit' apa yang patut, ejaan, tatabahasa, isi kandungan dan sebagainya. 

Jutaan terima kasih diucapkan terutamanya kepada Dr Idris Zakaria dan Ustaz Mat Azid Kadir yang sudi membaca dan memberi pandangan dari sudut kandungan ilmiahnya. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Cikgu Norhayati, guru-guru SK Jalan 3 dan kanda Saamah Muhayat yang membantu meng'edit' ejaan dan tatabahasa.

Mudah-mudahan kita dapat berkongsi sedikit ilmu yang Allah s.w.t. pinjamkan kepada kita.. Insya-Allah. Wassalam..

Jangan ketinggalan.. 
Dapatkan senaskah sebelum kehabisan. 
Banyak lagi ilmu dan pengajaran, terdapat di dalam novel ini..